Tuesday, November 20, 2012

untittle


Adat bertandang ke laman orang;
Biar datang bersambut salam,
Biar pulang berhantar senyuman.
Tapi aku bagai ayam dilesung,
Bila dihalau terpaksa pulang.
Biar datang membawa hajat tinggi nan menggunung
Namun orang tidak pula sudi  memandang
Tidak rela diri ini bila datang disambut suam,
Bila pulang dihalau berparang,
Maka kembalilah aku ke jalan pulang
Kerana aku sedar siapa diriku tuan.

Thursday, November 8, 2012

moga kalian bahagia

tanpa wasangka lagi
kalian bersama-sama
akan membina taman sari
doaku moga taman 
yang kalian bakal bina
akan dihiasi 
landskap nan indah.
mudah-mudahannya bakal 
ada pewaris
yang soleh dan solehah.
biar mereka ini
menjadi penyambung cinta
hingga ke Jannah!


Wednesday, October 31, 2012

kala hati bersedih

hari hujan
bukan lagi berintik-rintik
tapi lebat selebat-lebatnya
sepertinya
hujan juga tahu
kala hati sedang bersedih!


Sunday, October 14, 2012

ini ceritaku


Bila tengok kawan-kawan meng”upload” gambar konvokesyen masing-masing, aku terimbau kenangan lalu. Aku pernah jatuh tersungkur dalam perjuangan di medan ilmu. Namun Alhamdulillah, aku ada keluarga yang begitu mendukung aku untuk bangkit semula. Aku kembali berjuang dan syukur kepada Allah aku berjaya. Melihat kepada keputusan peperiksaanku yang cemerlang, aku menyusun perancangan. Aku mahu ke universiti pendidikan, aku mahu menunaikan hasrat ibu ayah yang mahu melihat sekurang-kurangnya seorang anak mereka bergelar pendidik.

Namun aku hanya merancang, takdir Allah yang menentukan, pertama kali aku mendapat tahu diterima masuk ke UUM, aku menangis! Berhari-hari aku menangis. Bahkan siang dan malam! Bukan kerana gembira tetapi aku tidak dapat menerima kenyataan kenapa aku mesti diterima ke universiti itu? Alasannya; pertama, ia bukan universiti pilihanku, kedua aku tidak diterima untuk menjadi pendidk dan ketiga aku sedia maklum ia berada di kawasan hutan dan terpencil. Namun takdir Allah, aku termakan juga pujukan keluarga, akhirnya aku akur untuk mendaftar.

Tiga tahun menanam pelbagai rasa di lembah ilmu itu, tiga tahun juga aku belajar mengenal erti kawan dan lawan, akhirnya penat lelahku terbalas juga! Oktober tahun lepas aku berjaya menuai hasilnya. Aku telah bergraduat! Walaupun keluarga tiada di hari graduasi untuk sama-sama berkongsi kegembiraan dan merai kejayaanku, aku tetap tersenyum bangga kerana berjaya membalas jasa mereka. Setahun lagi insyaallah, aku harap mereka akan bersama-samaku untuk berkongsi kegembiraan di hari graduasiku yang kedua walaupun bukan lagi di lembah itu! Kini tempat yang pernah aku bermati-matian tidak mahu pergi, akhirnya membenihkan rasa rindu yang begitu menebal dihatiku. 

Monday, July 9, 2012

Kau dan aku, timangan kita serupa

Ingin melangsai sebuah janji. Nampaknya ia sudah mula ditagih...^.~


Pagi semalam
Kala bayu bertiup lembut
Aku menjadi penasaran
Mengimbau sepanjang jalan kenangan

Di lembah yang penuh momen itu
Aku bertemu insan-insan istimewa
Seorang teman
Kita berkongsi panggilan yang sama
Menjadikan gamat suasana
Kerana menyahut timangan serupa

Kadang-kala aku ingin tahu
Kenapa garis wajahnya penuh rahsia
Mungkin ada cerita duka
Atau mungkin dia jenis selamba
Tidak apa-apalah teman
Asalkan kamu berbahagia

Hari ini
Ketika bayu tidak lagi bertiup
Aku menjadi kepanasan
Mungkin kerana aku merindui kalian!

p/s: ma ini untuk kau...hehehe

Thursday, July 5, 2012

Aku...


        Mencari idea sambil mendengar ayat-ayat Allah. Semoga barakah. Perjalanan yang sejauh ini sudah aku tempa, namun masih terasa kosong. Ruang kehidupan ini banyak lagi yang masih belum terisi. Lingkaran kehidupan yang entah bagaimana ingin aku corakkan, tidak tergambar rasanya. Aku ini umpama pelukis yang ditangannya ada berus dan kanvas, tetapi tidak tahu pula apa yang perlu dilakarkan. Buntu!

      Kadang-kala kehidupan yang terlalu sepi akan menjadi barah yang diam-diam memakan diri. Aku umpama berada dalam segiempat yang ruangnya hanya terisi gema. Bagaimana aku menjerit, tiada siapa yang akan mendengar. Sehingga ke suatu saat, tiada daya usaha lagi untuk aku keluar dari segiempat penuh dilema itu, hanya yang aku mampu, sujud kepada sang Pencipta. Mohon kepada-Nya diberi petunjuk dan jalan. Agar aku tidak lagi sesat di jalan pilihanku sendiri.

       Kata orang selagi kita hidup, takkan surut dugaan dan cabaran yang akan datang. Bumi mana tidak basah bila hujan datang mencurah, manusia mana tiada masalah selagi tidak ke alam barzakh. Resam kehidupan, kalau tiada masalah, itu pun dikira masalah juga. Sebagai insan yang bergelar khalifah di bumi Allah, dengan akal fikiran yang dikurniakan, aku kira ini lah setepatnya, mengadulah kepada-Nya jika bermasalah. Hidup kita tidak pernah sendirian selagi kita berpegang teguh pada tali Allah.

        Ya Allah, Kau kuatkan semangatku, cekalkan hatiku dalam menghadapi kehidupan yang berliku ini dan jauhkan aku dari belenggu kebuntuan. Ya Allah ampunkan dosa-dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Rahmatilah kehidupan kami sekeluarga dan seluruh saudara seiman denganku. Amin.

Sunday, June 17, 2012

apa tandanya

malam kian kelam
aku masih lagi termenung
mengenangkan hari esok
apa akan jadi?

aku hampir pasti
umpama tiada rahsia lagi
kerana setiap perbuatan
ada pembalasan

tapi aku masih lagi begini
menunda dan terus menunda
bukan aku tidak tahu
masa mustahil untuk
berputar semula

rasa dalam diri
makin lama
aku rasakan
makin tawar
makin hambar
apa tandanya?