Thursday, March 15, 2012

catatan

Saya rindukan sapaan lembut bayu di pesisir pantai Laut China Selatan. Daerah kelahiran yang agak lama saya tinggalkan. Bukan tidak sudi untuk pulang mendakap kedamaian di Tanah Serendah Sekebun Bunga itu, tapi hambatan dan tuntutan tugasan yang semakin membukit menyebabkan saya mengalah. Saya merindukan segalanya di sana. Paling saya rindukan, melihat wajah ayah ibu. peluk cium mereka. Tak lupa juga rasa enak santapan yang dimasak oleh kakak. Walaupun kami sering bergaduh kerana malas untuk memasak! Keletah anak-anak buah yang mencuit hati dan kadang-kala membangkitkan amarah, segalanya berbaur menjadi satu rasa: KERINDUAN!

Kehijauan sawah bendang, kebun cili dan kacang panjang, pasar kecil yang menjadi nadi kehidupan semuanya membuat saya jadi penasaran. Memori di kebun tembikai: memunggah buah dari baruh ke darat sungguh memenatkan, apatah lagi bekerja dibawah terik sinar mentari. Namun yang terindah, menikmati manis tembikai saat kepenatan, aduh itu kenikmatan yang tidak akan dijumpai di mana-mana! 



Friday, March 2, 2012

bianglala di dada langit

cerah mentari
tanpa jemu menyinari alam
gerak-gerak manusia mengintai langit
mendongak ke awan
segalanya lancar tanpa kegusaran

tik, tik, tik,
setitik demi setitik
dalam panas membahang
air jernih bertoksid berguguran
langkah laju mencari atap teduhan
bimbang, andai nanti bisa terkena jangkitan.

ada hati yang gusar
dengan kebiasaan alam
yang gusar kerana kebasahan
yang gusar kerana pencemaran alam

hujan telah reda
bianglala di dada langit dalam kesedihan
warnanya sudah tidak semesra dahulu