Monday, July 9, 2012

Kau dan aku, timangan kita serupa

Ingin melangsai sebuah janji. Nampaknya ia sudah mula ditagih...^.~


Pagi semalam
Kala bayu bertiup lembut
Aku menjadi penasaran
Mengimbau sepanjang jalan kenangan

Di lembah yang penuh momen itu
Aku bertemu insan-insan istimewa
Seorang teman
Kita berkongsi panggilan yang sama
Menjadikan gamat suasana
Kerana menyahut timangan serupa

Kadang-kala aku ingin tahu
Kenapa garis wajahnya penuh rahsia
Mungkin ada cerita duka
Atau mungkin dia jenis selamba
Tidak apa-apalah teman
Asalkan kamu berbahagia

Hari ini
Ketika bayu tidak lagi bertiup
Aku menjadi kepanasan
Mungkin kerana aku merindui kalian!

p/s: ma ini untuk kau...hehehe

Thursday, July 5, 2012

Aku...


        Mencari idea sambil mendengar ayat-ayat Allah. Semoga barakah. Perjalanan yang sejauh ini sudah aku tempa, namun masih terasa kosong. Ruang kehidupan ini banyak lagi yang masih belum terisi. Lingkaran kehidupan yang entah bagaimana ingin aku corakkan, tidak tergambar rasanya. Aku ini umpama pelukis yang ditangannya ada berus dan kanvas, tetapi tidak tahu pula apa yang perlu dilakarkan. Buntu!

      Kadang-kala kehidupan yang terlalu sepi akan menjadi barah yang diam-diam memakan diri. Aku umpama berada dalam segiempat yang ruangnya hanya terisi gema. Bagaimana aku menjerit, tiada siapa yang akan mendengar. Sehingga ke suatu saat, tiada daya usaha lagi untuk aku keluar dari segiempat penuh dilema itu, hanya yang aku mampu, sujud kepada sang Pencipta. Mohon kepada-Nya diberi petunjuk dan jalan. Agar aku tidak lagi sesat di jalan pilihanku sendiri.

       Kata orang selagi kita hidup, takkan surut dugaan dan cabaran yang akan datang. Bumi mana tidak basah bila hujan datang mencurah, manusia mana tiada masalah selagi tidak ke alam barzakh. Resam kehidupan, kalau tiada masalah, itu pun dikira masalah juga. Sebagai insan yang bergelar khalifah di bumi Allah, dengan akal fikiran yang dikurniakan, aku kira ini lah setepatnya, mengadulah kepada-Nya jika bermasalah. Hidup kita tidak pernah sendirian selagi kita berpegang teguh pada tali Allah.

        Ya Allah, Kau kuatkan semangatku, cekalkan hatiku dalam menghadapi kehidupan yang berliku ini dan jauhkan aku dari belenggu kebuntuan. Ya Allah ampunkan dosa-dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Rahmatilah kehidupan kami sekeluarga dan seluruh saudara seiman denganku. Amin.