Bila
tengok kawan-kawan meng”upload” gambar konvokesyen masing-masing, aku terimbau
kenangan lalu. Aku pernah jatuh tersungkur dalam perjuangan di medan ilmu. Namun
Alhamdulillah, aku ada keluarga yang begitu mendukung aku untuk bangkit semula.
Aku kembali berjuang dan syukur kepada Allah aku berjaya. Melihat kepada
keputusan peperiksaanku yang cemerlang, aku menyusun perancangan. Aku mahu ke
universiti pendidikan, aku mahu menunaikan hasrat ibu ayah yang mahu melihat
sekurang-kurangnya seorang anak mereka bergelar pendidik.
Namun
aku hanya merancang, takdir Allah yang menentukan, pertama kali aku mendapat tahu
diterima masuk ke UUM, aku menangis! Berhari-hari aku menangis. Bahkan siang
dan malam! Bukan kerana gembira tetapi aku tidak dapat menerima kenyataan
kenapa aku mesti diterima ke universiti itu? Alasannya; pertama, ia bukan
universiti pilihanku, kedua aku tidak diterima untuk menjadi pendidk dan ketiga
aku sedia maklum ia berada di kawasan hutan dan terpencil. Namun takdir Allah,
aku termakan juga pujukan keluarga, akhirnya aku akur untuk mendaftar.
Tiga
tahun menanam pelbagai rasa di lembah ilmu itu, tiga tahun juga aku belajar
mengenal erti kawan dan lawan, akhirnya penat lelahku terbalas juga! Oktober tahun
lepas aku berjaya menuai hasilnya. Aku telah bergraduat! Walaupun keluarga
tiada di hari graduasi untuk sama-sama berkongsi kegembiraan dan merai kejayaanku,
aku tetap tersenyum bangga kerana berjaya membalas jasa mereka. Setahun lagi
insyaallah, aku harap mereka akan bersama-samaku untuk berkongsi kegembiraan di
hari graduasiku yang kedua walaupun bukan lagi di lembah itu! Kini tempat yang
pernah aku bermati-matian tidak mahu pergi, akhirnya membenihkan rasa rindu
yang begitu menebal dihatiku.