Tuesday, January 10, 2012

untittle

akhirnya air dari kelopak mata aku gugur juga. tidak seperti aku harapkan! benar kata orang, jangan terlalu gembira, kelak akan membawa derita.

Sunday, January 8, 2012

Adik Muhammad

Muhammad Syahril atau Muhammad Syahir. Entahlah, saya pun tidak pasti. tapi tak mengapalah, biarkan saja saya memanggilnya Muhammad. Hari ini 8 Januari 2012. Saya menyambut ulang tahun kelahiran saya yang sudah suku abad. Demi meraikan hari lahir saya, maka hari ini saya sanggup berbelanja besar sedangkan selama ini saya agak berjimat cermat dalam perbelanjaan. Pada saya, tidak mengapalah, setahun hanya sekali. Pagi-pagi lagi saya dan roomate sudah keluar ke pekan Kajang. Banyak agenda yang telah saya susun. Mahu beli itu dan juga mahu beli ini. Setelah hampir separuh hari kami berpenat ke sana ke sini, akhirnya kami sepakat untuk balik.
Ketika sedang menunggu bas yang masih tak kunjung tiba, kami dihampiri oleh seorang pengemis. Seorang lelaki yang sudah agak berusia. Datang kepada kami dalam keadaan yang tidak bermaya. Tapi saya tahu, bahkan terlebih tahu, dia sebenarnya hanya berlakon. Kerana sebelum ini saya pernah melihat dia dalam keadaan yang sangat sihat. Maka saya memutuskan untuk tidak akan memberikan dia walau satu sen pun. Dia sempat merayu tapi kami tidak layan. Ya, agak kejam bunyinya, itu saya akui. Maka pengemis tua itu pun berlalu pergi.
Bas masih tak kunjung tiba juga. Saya dan roomate sudah mula gelisah. hampir satu jam menunggu bas tidak juga muncul.  Sekali lagi kami dihampiri pengemis. Kali ini seorang anak kecil. Ya, itu lah Muhammad. Dia datang kepada kami dengan naskah-naskah surah Yassin. Mohon kami membelinya. Tapi saya dan roomate seperti biasa menolak. Maka Muhammad terus berlalu pergi. Tidak seperti kebiasaan pengemis lain, akan merayu-rayu dan memujuk. Saya dan roomate mula memperkatakan tentang Muhammad. Kami bersimpati kepada dia kerana pada pandangan kami, anak sebesar Muhammad sepatutnya sedang tekun belajar atau paling tidak berseronok bermain bersama kawan-kawan. Tidak sepatutnya Muhammad menjadi seperti itu, mengemis dan meminta-minta. Kami sepakat menyatakan bahawa Muhammad ini berada dibawah pengaruh sendiket yang memanipulasi keadaan Muhammad.  Hati saya sebak sebenarnya mengenangkan nasib Muhammad, sedangkan anak-anak saudara saya yang hampir sebaya dengannya masih lagi seronok bermain tanpa perlu memikirkan sebarang masalah.  Tetapi apabila memikirkan bahawa ada sendiket yang akan mendapat manfaat terhadap Muhammad, maka saya bertegas tidak akan memberikan wang kepadanya.
Masa terus berlalu, bas tidak juga kunjung tiba. Tiba-tiba kami dihiasi pemandangan yang luar biasa. Muhammad datang lagi. Berlari-lari anak kearah kami. Ditangannya ada satu plastik berisi beras. Dengan kudrat tangan kerdilnya, dia cuba membuka ikatan plastik tersebut. Tapi usahanya gagal. Lalu dia menggunakan giginya, dan usahanya berhasil. Dengan tangan kecilnya itu, dia menabur beras kepada burung-burung merpati liar di kawasan itu. Dia melakukannya dengan penuh keikhlasan. Diwajahnya terbayang satu kepuasan; mungkin baginya itulah keseronokan; dan saya pasti burung-burung itu mendoakan kesejahteraan Muhammad.
Saya terpaku, tertunduk memandang ke tanah. Menilai diri sendiri. Manusia jenis apakah saya ini? Saya langsung tidak sudi menghulurkan walau satu sen pun kepada dia. Sedangkan Muhammad yang terpaksa meminta-minta, sudi memberi makan kepada burung-burung merpati liar, manakala saya pula tidak pernah terfikir pun untuk berbuat demikian. Saya bukannya tidak berwang. Bahkan setiap bulan saya menerima gaji yang saya sendiri pun tidak tahu mahu digunakan untuk apa. Saya tiada tanggungan, ke tempat kerja tidak bertambang, rumah tak perlu disewa, bahkan api air pun tak perlu dibayar. Saya cuma menanggung makan minum saya sahaja. Tapi kenapa saya perlu berkira dengan orang seperti Muhammad? Saya mula rasa sebak. Mengenangkan betapa kedekutnya saya. Sedangkan saya boleh berbelanja besar untuk puaskan hati sendiri, kenapa saya tidak boleh menghulurkan sedikit bantuan kepada Muhammad? Saya benar-benar kesal. Ya Allah! kejam nya saya.
Tanpa sempat saya memanggil Muhammad, dia telah pergi. Sekali lagi kesal dan sesal berkunjung ke hati saya. Dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu, betapa saya sangat mengharap agar Muhammad akan kembali ke tempat saya berdiri itu. saya berdoa dan terus berdoa. Jika Muhammad tidak muncul, maka akan menyesalah seumur hidup saya kerana sifat saya itu. Ahkirnya Allah  mendengar doa saya. Muhammad kembali lagi ke situ. Dari kejauhan saya memanggil Muhammad. Dia berlari datang ke arah saya. Saya bertanyakan kepada siapa namanya. Ya dia memberitahu, tapi saya sendiri kurang jelas, sama ada Muhammad Syahril atau Muhammad Syahir. Saya tanya lagi sama ada dia sudah makan atau belum? Katanya belum kerana tiada wang untuk makan. Hati saya makin sebak. Saya tanya lagi, dia sekolah atau tidak, katanya dia sekolah di Ampang, darjah tiga. Saya tanya mana mak dan ayah nya? Katanya ayah sudah tiada, pergi menyahut seruan ilahi, emaknya ada di hujung jalan sana, juga seperti dia menjual naskah-naskah ayat suci itu untuk menampung kehidupan. Allah kejamnya saya! Mentafsir diri Muhammad tanpa usul periksa. Saya yakin dengan ceritanya. Saya tidak mampu berkata banyak lagi. Lalu saya keluarkan sekeping not merah dari dalam dompet saya, mungkin ia bukanlah satu jumlah yang besar, tapi saya sangat berharap dapat membantu Muhammad. Muhammad menerima dengan sebuah ucapan terima kasih dan wajah yang riang. Sebelum dia berlalu pergi saya sempat berpesan supaya dia belajar rajin-rajin. dengan sebuah senyuman, lalu dia pergi meninggalkan saya. Sesungguhnya, hari ini, Muhammad telah memberikan pengajaran yang berguna kepada saya. Sepatutnya saya bersyukur kerana nasib saya tidak seperti dia. Bahkan mungkin beribu kali lebih baik dari dia. Bas untuk balik ke UKM akhirnya muncul juga. Hari ini saya pulang dengan perasaan yang berbaur; Syukur kerana bertemu Muhammad yang menginsafkan saya dan sedih mengenangkan masa depan Muhammad yang tidak tahu bagaimana penghujungnya. Saya hanya mampu mengirim doa. Ya Allah kau bahagiakanlah Muhammad, permudahkanlah segala urusannya, lindungilah dia dan mudah-mudahan dia menjadi hambaMu yang bertaqwa. Amin.

Thursday, January 5, 2012

Cerita seorang makcik

Pukul 5 petang. Saya seperti biasa sudah tidak betah lagi berada di pejabat. Kaki laju sahaja meninggalkan bilik berhawa dingin itu menuju ke hentian bas dihadapan fakulti. Matahari terik membahang. Bumbung hentian bas juga tidak mampu menahan bahang limpahan cahaya tersebut. saya beberapa kali beralih tempat duduk, mencari tempat yang terlindung agar perit bahang mentari tidak terkena pada kulit saya ini. 5.10 petang bas yang ditunggu akhirnya tiba jua. Saya masuk ke dalam bas sambil mata melilau-lilau mencari tempat yang terlindung dari pancaran matahari yang membahang diluar sana. Akhirnya saya memilih untuk duduk di tepi tingkap di bahagian sisi kanan bas.  Keadaan yang nyaman di dalam bas. Penghawa dingin yang sangat berfungsi. sepanjang perjalanan saya hanya melemparkan pandangan kosong terhadap pemandangan yang saban hari saya lihat. Sehinggalah bas tersebut membelok ke kiri di satu simpang tiga. Terdapat kawasan pembinaan di simpang tiga tersebut. saya mula gelisah. Cahaya matahari mula memancar ke arah muka. Perit sungguh rasanya walaupun di  dalam bas yang berhawa dingin. Hati saya mula merungut, dan berharap agar segera sampai ke destinasi. Saya melemparkan pandangan keluar, ke arah  tapak pembinaan itu, saya melihat seorang makcik, ya seorang makcik sedang bertungkus lumus bersama-sama pakcik-pakcik dan abang-abang menjalankan kerja-kerja pembinaan, dibawah pancaran terik mentari tanpa perasaan gusar sedikit pun. Sungguh, ia membuatkan saya mula berfikir. Menilai diri saya. Menilai asal usul saya. Seorang makcik yang pada hemat saya tidak sepatutnya berada atau setepatnya bekerja di tapak pembinaan itu kerana  seorang wanita kalaupun mahu bekerja bukan ditempat seperti itu; bukan dengan melakukan pekerjaan yang sangat berat itu. tapi itulah yang makcik itu sedang kerjakan! Menggunakan kudrat tulang empat kerat membanting tulang di negara orang demi sesuap rezeki yang halal. Hati saya yakin, mak cik ini bukan orang tempatan. Ah, tidak kira orang tempatan atau dari mana asal usul dia, yang pasti hari ini, dia telah mencalar ego saya. Egoisnya saya, bekerja seharian di dalam bilik berhawa dingin, hanya terkena pancaran mentari tidak sampai lima belas minit sudah merungut. Sedangkan mak cik itu, seharian, bahkan mungkin berbulan atau mungkin juga sudah bertahun dia setia dengan kerjanya dibawah terik mentari itu. Sungguh, saya insaf!   

Wednesday, January 4, 2012

minat atau terpaksa minat?

Yang mana satu? Minat atau terpaksa minat? kalau minat itu, ya biasalah: perkara yang kita suka buat. Tiada siapa pun yang suruh atau paksa kita buat, atau walau dalam keadaan apa pun kita boleh buat. Tapi kalau terpaksa minat, itu parah. Dan sekarang aku lah yang parah itu! Terpaksa minat pada sesuatu yang aku tak minat, parah-parah. Namun demi kelangsungan hidup yang sememangnya bergantung kepada benda yang terpaksa minat ni, kena tawakal dan redha sajalah. semoga dipermudahkan segalanya. Amin.