Thursday, January 5, 2012
Cerita seorang makcik
Pukul 5 petang. Saya seperti biasa sudah tidak betah lagi berada di pejabat. Kaki laju sahaja meninggalkan bilik berhawa dingin itu menuju ke hentian bas dihadapan fakulti. Matahari terik membahang. Bumbung hentian bas juga tidak mampu menahan bahang limpahan cahaya tersebut. saya beberapa kali beralih tempat duduk, mencari tempat yang terlindung agar perit bahang mentari tidak terkena pada kulit saya ini. 5.10 petang bas yang ditunggu akhirnya tiba jua. Saya masuk ke dalam bas sambil mata melilau-lilau mencari tempat yang terlindung dari pancaran matahari yang membahang diluar sana. Akhirnya saya memilih untuk duduk di tepi tingkap di bahagian sisi kanan bas. Keadaan yang nyaman di dalam bas. Penghawa dingin yang sangat berfungsi. sepanjang perjalanan saya hanya melemparkan pandangan kosong terhadap pemandangan yang saban hari saya lihat. Sehinggalah bas tersebut membelok ke kiri di satu simpang tiga. Terdapat kawasan pembinaan di simpang tiga tersebut. saya mula gelisah. Cahaya matahari mula memancar ke arah muka. Perit sungguh rasanya walaupun di dalam bas yang berhawa dingin. Hati saya mula merungut, dan berharap agar segera sampai ke destinasi. Saya melemparkan pandangan keluar, ke arah tapak pembinaan itu, saya melihat seorang makcik, ya seorang makcik sedang bertungkus lumus bersama-sama pakcik-pakcik dan abang-abang menjalankan kerja-kerja pembinaan, dibawah pancaran terik mentari tanpa perasaan gusar sedikit pun. Sungguh, ia membuatkan saya mula berfikir. Menilai diri saya. Menilai asal usul saya. Seorang makcik yang pada hemat saya tidak sepatutnya berada atau setepatnya bekerja di tapak pembinaan itu kerana seorang wanita kalaupun mahu bekerja bukan ditempat seperti itu; bukan dengan melakukan pekerjaan yang sangat berat itu. tapi itulah yang makcik itu sedang kerjakan! Menggunakan kudrat tulang empat kerat membanting tulang di negara orang demi sesuap rezeki yang halal. Hati saya yakin, mak cik ini bukan orang tempatan. Ah, tidak kira orang tempatan atau dari mana asal usul dia, yang pasti hari ini, dia telah mencalar ego saya. Egoisnya saya, bekerja seharian di dalam bilik berhawa dingin, hanya terkena pancaran mentari tidak sampai lima belas minit sudah merungut. Sedangkan mak cik itu, seharian, bahkan mungkin berbulan atau mungkin juga sudah bertahun dia setia dengan kerjanya dibawah terik mentari itu. Sungguh, saya insaf!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment