Friday, April 6, 2012

Catatan Jumaat

Jumaat indah penuh barakah. Kala saya termenung jauh mencari bait-bait terbaik untuk penulisan jurnal yang semakin menghampiri tempoh tamat, saya mendengar cerita duka. Berat dugaan Allah untuknya. Tapi dia tabah. Saya terfikir, andai saya yang berada ditempatnya, mampukah saya? Saya selalu mendengar, ujian yang Allah hadirkan ke dalam hidup hambaNya, adalah setimpal dengan kemampuan hambaNya itu. Saya tahu dia kuat untuk dugaan itu.

Cerita Kak Fera

Sudah lama saya mendengar cerita pelajar Kak Fera yang seorang ini, cerita dia cacat penglihatan. Andaian kami: dia hilang anugerah penglihatan itu sejak lahir, namun ternyata adalah salah. Kata kak Fera, dia ada mendengar cerita dari pelajar yang lain, pelajar istimewanya itu bukan dilahirkan dengan kekurangan itu. Dan hari ini, setelah berbincang mengenai keluk, kisahnya terungkai.

"Awak boleh bayangkan tak keluk ni macam mana?" Soal Kak Fera.

"Dulu waktu saya ambil ekonomi asas adalah pernah tengok keluk. Tapi sekarang dah lupa lah Miss." Balas pelajarnya.

Oh! benar kata pelajarnya yang lain bisik hati Kak Fera.

"Kalau saya tanya, awak tak marah kan?" Soal Kak Fera lagi.

"Tanya lah Miss, saya tak marah." Kata pelajarnya sambil tersenyum.

"Sejak bila awak tak boleh melihat?" Selidik Kak Fera.

"Dah hampir lima tahun Miss. Masa tu tinggal beberapa bulan lagi sebelum saya ambil SPM. Mula-mula tu, pandangan saya kabur saja. Tapi satu hari tu bila saya bangun dari tidur, saya tak nampak apa-apa. Sejak tu saya dah tak dapat melihat lagi." Tenang sahaja pelajarnya bercerita.

"Kenapa boleh jadi macam tu? Awak demam panas ke? Doktor kata apa? Mata awak boleh baik tak?" Banyak soalan dari Kak Fera.

"Saya tak demam pun. Saya pun tak tahu macam mana nak jelaskan. Doktor kata bebola mata saya terima tekanan yang kuat, sebab tu saya tak boleh melihat. Soal boleh baik atau tidak, doktor kata mungkin tiada harapan." Cerita pelajarnya itu. 

Demikian cerita Kak Fera. Cerita yang menyebabkan saya tidak keruan. Saya yang ditakdirkan menjadi seorang yang rabun pun rasa sudah cukup terseksa, apatah lagi dia. Saya tidak berani membayangkan bagaimana perasaan dia. Semalam masih mampu melihat keindahan dunia. Mampu melihat warna-warni alam ciptaan Ilahi, tiba-tiba bila terjaga keesokkan hari, semuanya gelita! Berat sungguh dugaan untuknya. Jika untuk membayangkan sahaja saya tidak berani, apatah lagi untuk menghadapinya. Ya Allah, semoga saja nikmat penglihatan yang Kau pinjamkan untuk saya akan berkekalan selagi hayat dikandung badan. Alhamdulillah, syukur atas segala nikmatMu ya Allah.

p/s: Namanya Mustakim, pelajar cemerlang di kolejnya. Dia mampu buktikan, walaupun tiada daya untuk melihat, dia juga mampu menjadi yang terbaik. Sungguh, ceritanya menjadi motivasi kepada saya!




  

No comments:

Post a Comment